MENANGIS atau meragam sudah menjadi sifat semula jadi bayi yang normal.
Kita tidak boleh mengharapkan anak yang sentiasa ceria dan tidak membuatkan ibu
bapa pening menangani pelbagai kerenah mereka.
Menangis juga satu cara bayi berkomunikasi dengan penjaga kerana mereka
masih tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata.
Menjaga bayi menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tidak, ibu bapa
boleh hilang sabar dan ada yang bagaikan hilang kewarasan diri sehingga sanggup
mendera anak sendiri.
Dengan pelbagai tekanan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi setiap
hari, kerenah anak yang menangis atau meragam apatah lagi pada malam hari
memang boleh menyebabkan ibu bapa hilang sabar.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya
melepaskan kemarahan atau segala beban seharian terhadap anak kecil yang tidak
berdosa dan mengerti apa-apa. Sebaliknya kita harus belajar untuk menjadi ibu
bapa terbaik sekali gus memahami keadaan si kecil yang sering meragam itu.
Buat ibu bapa dan penjaga, teknik menangani bayi yang meragam dan
sering menangis ini boleh dijadikan panduan:
1. Bersikap tenang
Perkara terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa apabila anak meragam atau
menangis dengan nyaring ialah bersikap tenang dan bukannya memarahi anak dengan
suara yang tinggi.
Apabila tekanan dalam diri ibu bapa meningkat, anak juga akan menjadi
bertambah tertekan, menyebabkan usaha menenangkan bayi tidak akan tercapai.
2. Periksa lampin bayi
Bayi menangis kerana pelbagai sebab, antaranya mereka tidak selesa
apabila lampin sudah terlalu penuh atau mereka baru saja membuang air besar.
Jadi, apabila anak menangis, cuba periksa lampin untuk pastikan masalah
anak mena–ngis bukan berpunca daripada lampin. Sekiranya basah lencun atau
kotor, salin lampin supaya bayi lebih selesa.
3. Periksa suhu badan bayi
Kadangkala bayi menangis apabila dia berasa terlalu sejuk atau terlalu
panas.
Mungkin ibu bapa boleh memegang tangan atau kaki anak untuk
memastikannya.
Sekiranya sejuk, pakaikan baju yang menutup tubuh dan lebih tebal.
Namun sekiranya panas, cuba gunakan termometer bagi memeriksa suhu bayi.
4. Kembung perut
Bayi selalu mengalami masalah kembung perut. Oleh itu, ibu bapa perlu
memeriksa dengan menepuk lembut dengan jari bagi memastikan anak mereka
mengalami masalah kembung perut. Sekiranya benar, sapukan minyak angin pada
perut bayi untuk melegakan perutnya.
5. Beri susu atau makanan bayi
Sekiranya semua perkara di atas tiada pada bayi, kemungkinan besar dia
lapar.
Tawarkan minuman atau makanan pada bayi. Ibu bapa perlu mempunyai
jadual dan mengingati masa makan atau minum anak mereka.
Jangan ambil mudah kerana selain senang meragam akibat lapar,
tumbesaran bayi juga boleh terjejas jika tidak mendapat zat mencukupi.
6. Bayi mengantuk
Bayi juga akan meragam dan menangis jika mengantuk. Selalunya mereka
hanya
mahu didodoi oleh ibu atau bapa dan sebaik dipeluk, mereka menjadi
tenang dan tidur dengan mudah.
Pelukan daripada ibu bapa bukan saja dapat menenangkan bayi, malah ia
mampu menyalurkan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh bayi untuk membesar
dengan sempurna.
7. Mahu bermanja
Adakalanya bayi hanya mahu didukung, dipeluk, dilayan atau diberi
perhatian penuh oleh ibunya. Bayi sememangnya manja dan mahu dibelai ibu.
Banyak kajian menunjukkan belaian daripada ibu bapa dapat meningkatkan
sistem pertahanan bayi, membantu menstabilkan emosi, membantu selera bayi dan
menjadikan anak mereka lebih ceria.
8. Alih perhatian bayi
Apabila anak menangis atau meragam tanpa dikenal pasti puncanya, antara
kaedah yang boleh digunakan ialah mengalihkan perhatiannya.
Ada kemungkinan bayi itu bosan justeru, ibu bapa boleh menghiburkan bayi
mereka. Lakukan perkara yang boleh membuat bayi ketawa seperti membuat aksi
melucukan atau membawanya keluar bersiar-siar melihat sekeliling selain
berbual-bual dengan bayi supaya mereka rasa disayangi.
9. Ubah cara dukung
Sesetengah bayi mempunyai posisi dukung yang digemarinya. Jika anak
sukakan posisi tegak di bahu, jangan baringkan dia ketika mendukungnya kerana
bayi pasti akan menangis.
Apabila menegak, bayi boleh melihat keadaan sekelilingnya dengan lebih
baik seolah-olah berjalan dan ia penting bagi proses pembelajarannya.
10. Hiburkan bayi
Biarpun nyanyian anda sebenarnya sumbang namun bagi bayi anda, andalah
penyanyi terhebat. Oleh itu, gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan pelbagai
lagu lembut kepadanya terutama lagu yang mempunyai unsur pendidikan kerana anak
akan mengikut nyanyian sambil belajar dan pada masa sama, dia akan tenang dan
berhenti menangis.
11. Menari bersama bayi
Ini antara teknik yang boleh dilakukan sekiranya ia dapat membuatkan
anak anda
tersenyum serta membuatkannya berhenti menangis. Ajak anak menari
dengan gaya yang disukai kanak-kanak seperti tepuk tangan, supaya mereka
terhibur tetapi pada masa sama, berasa rapat dengan anda.
12. Tukar pakaian bayi
Ada fabrik yang kasar pada kulit bayi hingga menimbulkan rasa tidak
selesa dan
akhirnya bayi menangis. Oleh itu, tukar pakaiannya kepada yang lebih
selesa dan pastikan pakaian bayi diperbuat daripada fabrik lembut dan tidak
panas seperti kain kapas.
13. Mandikan bayi
Bayi yang meragam sepanjang hari mungkin berasa tidak selesa atau ruam
akibat lampin. Mandikan bayi dengan sabun yang mengeluarkan bau menenangkan dan
sapukan tubuhnya dengan losen atau minyak mineral yang menghindarkan masalah
ruam.
14. Urut bayi
Mengurut antara cara untuk menenangkan bayi. Sentuhan kulit ke kulit
bukan saja menenangkan bayi tetapi hubungan ibu bapa dengan anak juga menjadi
semakin rapat.
15. Kurangkan rangsangan sekeliling
Terlalu banyak rangsangan di sekeliling boleh membuatkan bayi
terganggu, seterusnya menangis dan meragam. Bagi menenangkan bayi, cuba
malapkan cahaya lampu, asingkan permainan yang banyak dan mengurangkan bunyi
bising.
16. Bedung bayi
Bagi bayi kecil, mereka berasa tenang dan selamat apabila dibedung
dengan kain dan dipeluk ibu bapa. Ini kerana bagi si kecil ini, keadaan yang
terbuka menakutkan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya bedung bayi kecil, bukan
saja mereka akan berasa hangat, ia juga membantu bayi tidur dengan lebih
nyenyak.
17. Gunakan bunyi menenangkan
Ada sesetengah bunyi mampu menenangkan bayi apabila ia berbunyi
terus-terusan contohnya bunyi kipas berputar atau bunyi kerincing angin yang
digantung di tempat berangin.
18. Beredar dan menenangkan diri
Sekiranya semua cara yang dilakukan tidak mampu menenangkan bayi dan
anda mula hilang sabar, tinggalkan sekejap bayi anda di tempat yang selamat dan
tenangkan diri terlebih dulu.
Berfikir positif dan memahami bayi anda tidak melakukannya dengan
sengaja kerana dia tidak memahami apa-apa dan masih kecil.
19. Bawa bayi bertemu doktor
Anda juga boleh membawa bayi bertemu doktor kanak-kanak bagi membuat
pemeriksaan untuk memastikan tangisan bayi bukan berpunca daripada masalah
kesihatan yang serius.
Sumber : harian metro
0 comments:
Post a Comment